Thursday, February 19, 2015

Buat malu orang kampung

Circa Disember 2013 aku praktikal dekat Langkawi..

Nak dijadikan cerita satu malam ni ada event di mana event ni meraikan hari kelahiran bos satu syarikat kapal tak berapa nak terkemuka sebab aku terlupa nama syarikat dia.Kalau terkemuka mesti aku ingat sampai sekarang.

Okay bos syarikat kapal ni orang kajang, kebetulan aku ditugaskan menjaga stesen sate pada malam kejadian.

bos syarikat : "wah sate, bau sedap ni"

Aku : "Mestilah sedap, orang kajang bakar ni encik"

Bos syarikat : "kalau macam tu saya amik lebih lah"

Aku : "haa amik amik"

Dekat hotel aku sate tak buat sendiri, hotel beli sate Langkawi nama dia sate pak long. So tugas aku bakar jelah.. Kiranya aku yakin la sate pak long ni sedap sebab hotel pun amik sate dia kan.

Tak semena mena lepas event habis bos syarikat yang tadi karaoke macam orang gila seronok tak ingat mampus menerpa aku dengan muka masam.

Bos syarikat : "Sate awak tak sedap, ayam dia tak cukup rempah daging pun sama.. Buat malu orang kajang je, saya pun orang kajang tau! Buat malu orang kampung awak ni"

Time ni aku tunduk malu sambil maki hamun  sate pak long. Celaka punya sate Langkawi pak long!

Tuesday, February 3, 2015

mampir ke mampus

Sudah dua puluh satu.
amal masih lagi  begitu,
kerja masih belum tahu,
hutang berpuluh ribu di bahu.

sudah dua puluh satu,
masih bebal disuap di hujung sudu,
tidak mampu akan sesuatu,
masih buta  permata atau batu.

sudah dua puluh satu,
bergaduh dengan diri sendiri itu selalu,
kerap tanya kemana hala tuju,
tapi semua masih begitu.

---

biar hari lahir yang ke seratus,
kalau sudah mampir ke mampus,
biar segala yang tak diutus,
diberitahu terus..

- tiga hari bulan dua / rumah biru tepi jalan / mendesak diri sendiri apa nak jadi.

Monday, February 2, 2015

terang lagi nyata.

Aku kalau ada anak nanti aku nak cakap

"Kau bila dah buat salah, aku tak marah.Bila kau buat salah, tapi kau tak mengaku kau buat walaupun terang lagi nyata kau salah itu ya aku marah"

Ikan masin

Pernah satu hari tu aku lapar bubur..tak demam tak selsema, hari pun tak hujan. tapi aku lapar bubur.

sedang aku utarakan idea aku untuk memenuhi tembolok aku dengan bubur rakan serumah mencelah "Tak bubur la kalau takda ikan masin"

bergegas aku ke kedai bangla bawah pangsapuri dengan niat membeli ikan masin. aku ni hidup sudah 20 tahun aku rasa baru kali ni aku mengambil pusing perihal ikan masin.

"ikan masin mana yang sedap?"

"ikan masin mana yang power untuk jadi hidangan sampingan bubur aku?"

pelbagai soalan diajukan kepada diri sendiri.

lalu aku mengambil langkah selamat..

"bang ikan masin mana yang best?" aku tanya abang dari Bangladesh yang menjaga kedai runcit.

"ikan masin ni serupa itu kehidupan juga adik.. semua pun masin,semua pun ikan"

lalu aku mengambil ikan masin yang berharga 2.50 seekor.. siap vacuum pack dan packaging yang cantik..sambil tu aku membayar dengan mimik muka tak puas hati akibat kena sekolah dek ikan masin.

sedang termangu

Kalau hidup sekadar hidup babi di hutan juga hidup -  Hamka

---

Pengajian diploma aku hampir menemui penamat.. InsyaAllah dalam bulan 6 aku tamat pengajian. sekarang sedang menunggu penempatan praktikal aku untuk kali ke dua.

Ramai insan yang mengambil berat bertanya "sambung degree ke tak?"  "lepas habis diploma buat apa?"

Niat di dalam hati selagi boleh belajar aku ingin belajar. memandangkan aku tidak mahu membebankan diri dengan hutang pengajian aku mengambil keputusan untuk bekerja.Ketika bekerja masih boleh belajar bukan?

peperiksaan terakhir untuk diploma aku ni akan dilangsungkan pada 23 Februari. sementara menunggu 23 Februari aku bercadang untuk duduk di rumah dan luangkan masa bersama ibu abah . sepanjang belajar mereka sahajalah punca kekuatan meneruskan pengajian.

Jadi aku harap penempatan praktikal aku ini biarlah tempatnya yang baik baik sahaja, biarlah tempatnya menjadi gedung ilmu untuk aku, biarlah bakal rakan sekerja aku baik baik semuanya.

harap harap apa yang dirancang diperkenankan.

Sudut

Di balik tirai kehidupan terdapat satu sudut, di mana sudut ini untuk para pemerhati. Aku tinggal di sini. Aku hidup di sini.Makan minum aku semuanya di sini.

sudut ini sempit, gelap,berbau hamis. tiada siapa gemar akan sudut ini. Akan tetapi aku hidup di sudut ini. mengapa??

kalau engkau tanyakan mengapa.. aku akan menjawab

"kerana sudut ini mempunyai pemandangan kehidupan yang paling indah dan menenangkan"

Biar sahaja aku dengan sudut aku. biar sahaja aku dengan pemerhatian aku.