Sunday, November 8, 2015

2000 and late.

Tiba tiba aku terasa blog ni lagi menarik dari medium media sosial yang lain. Mungkin sebab blog ni bebas dari mak dan makcik makcik di fb.. Twitter pula macam tak berapa nak sampai mesej disebabkan kekangan 140 huruf saja. Assalamualaikum pun dah 16 huruf kot. Bila singkatkan jadi "SLM!" Dah macam azwan ali rasanya hahahaha.

Sebenarnya nak cerita bagaimana hidup aku sekarang ni, aku tau tak ramai yang peduli tapi aku nak tulis juga untuk rujukan masa hadapan. Nanti aku yang berumur akan tengok balik post ni dan boleh la aku di masa akan datang tentukan sama ada hidup aku makin berubah ke arah yang lebih bagus atau sebaliknya.

Sekarang tahun 2015 masih belum menjalani majlis graduasi tapi dah kerja di westin KL.sebagai tukang masak, Kerja aku senang je cuma bebanan nak tunjukkan contoh yang baik tu la payah sikit. Terima kasih la dekat budak cilantro dan Taylor yang praktikal kat tempat aku. Takda diorang payah la aku nak buat kerja. Tapi ada diorang pun payah juga. Bebudak sekarang jenis pemalas!

Dulu tahun 2011 lepas amik spm pernah gak terfikir nak masuk Taylor. Nasib la duit  tak cukup. Tapi siapa sangka aku di tahun 2015 kena jadi mentor untuk budak taylor dan cilantro.

Bila kita fokus kat kerja 100% terasa juga la kekosongan dalam hidup tu . bila mengadu kat family atau kawan kawan lain, semuanya macam "Kawin jela senang qeel"  masalahnya ni bukan kekosongan jenis nak ada makwe. Ni jenis kekosongan "hidup ni memang bangun pagi dan kerja kumpul duit je ke?"

Cukup lah meracau di blog, terasa sungguh dua ribu dan lewat bila bersembang dalam blog ni hahahaha.

Friday, September 4, 2015

seni babe... seni

masa darjah dua dulu, aku kelas 2mawar walaupun dalam kelas tu takda mawar tapi ada cikgu nama ros. cikgu ros ni ajar seni tapi perangai cikgu ros ni memang mengajar seni tu macam Math. siap pukul telapak tangan dengan pembaris kalau buat garis tak lurus.. satu hari tu kelas 2 mawar diarahkan oleh cikgu ros untuk melukis bendera Malaysia.. aku yang memang failed bab melukis ni pun terkedu bila diberi tugasan melukis bendera Malaysia...

bendera Malaysia ni bukan macam bendera Indonesia senang je nak lukis, pelbagai elemen ada dalam bendera Malaysia kot! cikgu garang pulak memang tak membantu. aku memang dah menyalahkan nasib kenapalah tak lahir dekat negara yang benderanya tak sukar nak dilukis... selepas 30 min cikgu ros bangun dan mula round satu kelas.. masa itu lah telapak tangan aku kebas dek pukulan cikgu ros dan pembaris kayu warna kuning beliau.dari bintang berbucu 14 terus jadi bintang tak berbucu lah kualiti bendera aku tu.

Friday, March 20, 2015

Terkedu aqeel dibuatnya

Ada la satu hari tu aku berborak dengan jiran aku dan abah aku. Mula mula aku tak join pun pasal diorang banyak sembang politik dan ekonomi contohnya gst, 1mdb dan macam macam lagi. Aku memang malas nak amik port jadi aku buat jenis cara orang beradab la, dengar jangan  sampuk!

Tiba tiba abah aku dengan jiran aku ni mati topik pasal ekonomi dengan politik diorang sembang hal pendidikan...diorang cakap ibu bapa dalam Malaysia  ni tak boleh kalau anak diorang pilih cara "unorthodox" sikit.. Cara orthodox contohnya kau masuk tadika, habis tadika kau masuk sekolah rendah pastu menengah pastu sambung ipt pastu kerja. Kalau budak tu lepas Spm taknak sambung kebanyakan ibu bapa dalam Malaysia ni mesti bising dekat anak dia dan mula buat dialog "mana nak sorok muka malu kaum keluarga"

Tiba tiba abah tanya aku "Kau kenapa kau sambung belajar? Padahal abah tak paksa pun kau sambung"

Aku jawap " aik dah nak habis belajar dah baru nak tanya ke"

Jiran aku time ni dia gelak jelah.

Lepastu abah aku cakap "Kau belajar nak kerja kan?"

"haa mesti lah nak kerja hidup kena ada wawasan" aku jawap dengan nada sinis sebab soalan abah aku ni agak rendah kualitinya

Last sekali dia pangkah aku indirectly dia cakap

"itulah masalahnya kita ni suka ikut rentak orang, apa orang buat kita nak buat untuk rasa kita tergolong dalam masyarakat sampai lupa apa yang diri kita sendiri mahukan"

Jiran aku setuju..

Aku terkedu.

Wednesday, March 18, 2015

Siri berborak dengan chef

Chef aku dulu pernah cerita budak lari malam pasal ayam  (lari malam ni orang hotel panggil kalau staff tetiba lesap pastu berhenti kerja)  aku pun tengah rehat dan kebetulan chef ajak berbual aku join jela sekali.

Chef :"pernah satu kali tu bangcik, kita dapat trainee manja sangat sampai basuh ayam pun dia takmau!"

Aku : "chef maki dia teruih kot mana dia mau nak tolong basuh ayam"

Chef :" eh dak eh, kita mintak tolong elok elok! Sungguh! "

Aku :" dah tu chef buat apa sampai dia lari malam? 

Chef: "kita mintak dia basuh ayam dia dok kata renyah la, hanyir la, busuk la, darah la...macam macam alasan kita mandi kan dia dengan air ayam tu"

Aku : "hahahahahahahahahaha kejam sangat chef ni! ok la chef saya masuk dulu basuh ayam kang saya pulak kena mandi kang"

Chef : "hang mabuk apa pukoi 11 malam kitchen nak tutup dah hang nak basuh ayam? Bagi hantu raya hang makan ka?"

kesian budak mandi air ayam tu. Moga dia berjaya dan menempuh segala aral yang melintang dengan sabar dan redha.

Friday, March 6, 2015

Risau lagi merisaukan

Kelakar bila manusia risau akan masa depan tapi sedar apa yang kita buat sekarang memang akan mempengaruhi masa depan kita.

Daripada risau tak tentu hala apa kata cari inisiatif dan hentikan segala kerisauan yang melanda.

Sunday, March 1, 2015

Aku salahkan emosi.

Sampai satu tahap kau tak tau nak rasa apa dah.. Masa tu lah mandi paling lama, makan paling termenung, tidur paling payah dan kepala otak kosong macam keropok losong.. Okay saja nak ritma..

Kepala otak kosong ni sebab emosi yang tak stabil, kalau emosi stabil mesti mudah kita nak hadam dan teliti sesuatu perkara. Disebabkan emosi tak stabil lah segala pandangan kita terhadap sesuatu perkara dicemari dengan emosi yang tak tentu hala..skil kita nak cerna sesuatu idea atau beri pendapat yang logik untuk kita buat pilihan jadi tak keruan dan makin hilang arah. Ini semua sebab emosi.

Kau nak jadi kelakar payah, kau nak jadi serius payah waima kau nak jadi dungu pun rasa tak sedap hati..

Nak kata gila tak berapa nak gila lagi... Sebab aku tak tengok melodi. Kalau aku tengok melodi aku yakin tu gila yang abadi... Tengok, penulisan aku pun makin tah apa apa. Ini semua sebab emosi lah ni!

Thursday, February 19, 2015

Buat malu orang kampung

Circa Disember 2013 aku praktikal dekat Langkawi..

Nak dijadikan cerita satu malam ni ada event di mana event ni meraikan hari kelahiran bos satu syarikat kapal tak berapa nak terkemuka sebab aku terlupa nama syarikat dia.Kalau terkemuka mesti aku ingat sampai sekarang.

Okay bos syarikat kapal ni orang kajang, kebetulan aku ditugaskan menjaga stesen sate pada malam kejadian.

bos syarikat : "wah sate, bau sedap ni"

Aku : "Mestilah sedap, orang kajang bakar ni encik"

Bos syarikat : "kalau macam tu saya amik lebih lah"

Aku : "haa amik amik"

Dekat hotel aku sate tak buat sendiri, hotel beli sate Langkawi nama dia sate pak long. So tugas aku bakar jelah.. Kiranya aku yakin la sate pak long ni sedap sebab hotel pun amik sate dia kan.

Tak semena mena lepas event habis bos syarikat yang tadi karaoke macam orang gila seronok tak ingat mampus menerpa aku dengan muka masam.

Bos syarikat : "Sate awak tak sedap, ayam dia tak cukup rempah daging pun sama.. Buat malu orang kajang je, saya pun orang kajang tau! Buat malu orang kampung awak ni"

Time ni aku tunduk malu sambil maki hamun  sate pak long. Celaka punya sate Langkawi pak long!

Tuesday, February 3, 2015

mampir ke mampus

Sudah dua puluh satu.
amal masih lagi  begitu,
kerja masih belum tahu,
hutang berpuluh ribu di bahu.

sudah dua puluh satu,
masih bebal disuap di hujung sudu,
tidak mampu akan sesuatu,
masih buta  permata atau batu.

sudah dua puluh satu,
bergaduh dengan diri sendiri itu selalu,
kerap tanya kemana hala tuju,
tapi semua masih begitu.

---

biar hari lahir yang ke seratus,
kalau sudah mampir ke mampus,
biar segala yang tak diutus,
diberitahu terus..

- tiga hari bulan dua / rumah biru tepi jalan / mendesak diri sendiri apa nak jadi.

Monday, February 2, 2015

terang lagi nyata.

Aku kalau ada anak nanti aku nak cakap

"Kau bila dah buat salah, aku tak marah.Bila kau buat salah, tapi kau tak mengaku kau buat walaupun terang lagi nyata kau salah itu ya aku marah"

Ikan masin

Pernah satu hari tu aku lapar bubur..tak demam tak selsema, hari pun tak hujan. tapi aku lapar bubur.

sedang aku utarakan idea aku untuk memenuhi tembolok aku dengan bubur rakan serumah mencelah "Tak bubur la kalau takda ikan masin"

bergegas aku ke kedai bangla bawah pangsapuri dengan niat membeli ikan masin. aku ni hidup sudah 20 tahun aku rasa baru kali ni aku mengambil pusing perihal ikan masin.

"ikan masin mana yang sedap?"

"ikan masin mana yang power untuk jadi hidangan sampingan bubur aku?"

pelbagai soalan diajukan kepada diri sendiri.

lalu aku mengambil langkah selamat..

"bang ikan masin mana yang best?" aku tanya abang dari Bangladesh yang menjaga kedai runcit.

"ikan masin ni serupa itu kehidupan juga adik.. semua pun masin,semua pun ikan"

lalu aku mengambil ikan masin yang berharga 2.50 seekor.. siap vacuum pack dan packaging yang cantik..sambil tu aku membayar dengan mimik muka tak puas hati akibat kena sekolah dek ikan masin.

sedang termangu

Kalau hidup sekadar hidup babi di hutan juga hidup -  Hamka

---

Pengajian diploma aku hampir menemui penamat.. InsyaAllah dalam bulan 6 aku tamat pengajian. sekarang sedang menunggu penempatan praktikal aku untuk kali ke dua.

Ramai insan yang mengambil berat bertanya "sambung degree ke tak?"  "lepas habis diploma buat apa?"

Niat di dalam hati selagi boleh belajar aku ingin belajar. memandangkan aku tidak mahu membebankan diri dengan hutang pengajian aku mengambil keputusan untuk bekerja.Ketika bekerja masih boleh belajar bukan?

peperiksaan terakhir untuk diploma aku ni akan dilangsungkan pada 23 Februari. sementara menunggu 23 Februari aku bercadang untuk duduk di rumah dan luangkan masa bersama ibu abah . sepanjang belajar mereka sahajalah punca kekuatan meneruskan pengajian.

Jadi aku harap penempatan praktikal aku ini biarlah tempatnya yang baik baik sahaja, biarlah tempatnya menjadi gedung ilmu untuk aku, biarlah bakal rakan sekerja aku baik baik semuanya.

harap harap apa yang dirancang diperkenankan.

Sudut

Di balik tirai kehidupan terdapat satu sudut, di mana sudut ini untuk para pemerhati. Aku tinggal di sini. Aku hidup di sini.Makan minum aku semuanya di sini.

sudut ini sempit, gelap,berbau hamis. tiada siapa gemar akan sudut ini. Akan tetapi aku hidup di sudut ini. mengapa??

kalau engkau tanyakan mengapa.. aku akan menjawab

"kerana sudut ini mempunyai pemandangan kehidupan yang paling indah dan menenangkan"

Biar sahaja aku dengan sudut aku. biar sahaja aku dengan pemerhatian aku.